Tuesday, October 01, 2019

Numero Uno


Siang tak tidur, malam pun berjaga,
Kau sudah ukur, usaha 60 purnama,
Niat sudah, khatam pun dah lama,
Yakin berjaya, pasti Tuhan kota.

Kau janji ibu, bela sampai mati,
Janji pada ayah, jawab hati-hati,
Cakap pada diri, 9A itu pasti,
Paling penting tunai janji Ilahi. 

Langkah kanan, buka lima jari,
Pena tulis, seakan menari,
Hijab buka, jangan kerut dahi,
MRSM Muar numero uno di panji. 



Thursday, August 29, 2019

Lima Belas


15 tahun dahulu aku berjanji,
Layan kau bak sang permaisuri,
Ampun patik jika dimungkiri,
Kerana lafaz itu masih berdiri

Jujur kau masih misteri bagiku
Bagai jumpa pertama kali dahulu,
Mungkin itu adalah misi hidupku,
Kupas sehingga nampak dirimu.

Pegang tangan dilanjut usia,
Tamatkan marathon di’pace’ yang sama,
Kalau itu bukan azam sempurna,
Tambah backpacking ke hujung dunia. 

Ku titip doa, isteri tercinta,
Berjumpa cucu, setiap masa,
Anak tak lupa mengirim doa,
Paling cantik seluruh semesta. 

Mulut manis berkarung gula,
Kalau tak cukup ku tambah nira,
Cukuplah di sini ku tutup tinta,
Jumpa lagi jika panjang usia.

Wednesday, January 09, 2019

Langkah kedua (2018)


Langkah kedua, kau pasti girang,
Kau terbang, tinggalkan sarang,
Jangan lupa apa mama terang,
Balas mesej kami, selalu bilang.
Kau kan jumpa macam-macam orang,
Duduk diam rindu dulang,
Air tangan di sini pasti kurang,
Minum manis pun rasa jarang.
Tuntut ilmu itu asas pejuang,
Kadang kala susah itu perang,
Jatuh berkali jangan berang,
Kau kan rasa manis pabila menang.
Papa perhati seolah bayang,
Kalau rindu kau lihat bintang,
Pasti nampak sinar benderang,
Suluh jalan sampai dijulang

Friday, August 10, 2018

Warisan Baharu

Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi,
Tapi itu dulu, cerita masa minum kopi,
Anak sekarang, sepi diteman selfi
Berhubung tapi sendiri

Air mata darah, bercampur keringat,
Sekarang tak tentu arah, lupa qiraat,
Bertuhankan kertas, lupa rakaat,
Tak ingat tuhan walaupun sesaat

Bumi dipijak milik orang, nenek kaya raya,
Masih hamba orang, usaha tiada daya ,
Cuma temberang, kaya dengan kata,
Sebar dakyah kaum, inginkan kuasa.

Tergadai seluruh harta benda,
Orang luar laga, kata kita berbeza,
Toreh kulit, darah merah sama,
Cari titik satu, anak Adam jua.

Cinta lenyap diarus zaman,
Sekarang masih tak makan saman,
Slogan cakap mahukan aman,
Dalam diri perlu ada taman.

Jangan buang waktu lagi, raih sebuah mimpi,
Warisan dahulu, tetap dikunci,
Kalau mahu maju, adaptasi bukan jampi,
Cipta teknologi, roket keluar bumi.

Monday, January 30, 2017

Dakwah Biru Kuning

Aku rindu kedamaian rimba,
Hijau tanpa secalit domba,
Hirup tanpa cemar di dada,
Kicau sesekali pecah gelita. 

Terperangkap di rumah hijau,
Asap hitam semua tak risau,
Itu harga kejar emas berkilau,
Mati tak perlu kena toreh pisau. 

Fauna hanya nampak di layar,
Flora kuning tak perlu bayar,
Semua kerana si empat tayar,
CO2 penuh satu empayar. 

Susun, sisih sebelum buang,
Mulut berbuih macam tok dalang,
Sebelum daging bertukar tulang,
Harap berubah menjadi orang.

Pasang niat mula sekarang,
Jaga alam bukan temberang,
Beri cucu cahaya terang,
Lari di pantai kutip cengkerang. 

r0kawa
 

Saturday, September 03, 2016

Debat Merdeka


[ayah]
Anak merdeka, apa kau tahu,
Bermandi darah, darurat lalu,
Penjajah tarah, meninggal kuku,
Cerita yang kau baca hanya di buku.

[anak]
Ayahanda kami bukan tak tahu,
Merdeka kerana perjuangan lalu,
Sekarang ada dimensi baharu,
Penjajah ghaib yang kami buru. 

[ayah]
Makan ubi sebulan pasti,
Dapat beras itu kenduri,
Lapar perut tajam bak duri,
Sekarang mewah lagak puteri.

[anak]
Kecur ubi disulam kopi,
Makanan hanya lihat di TV,
Kadang-kadang diadil juri,
Musuh kami, tentang obesiti.

[ayah]
Kami satu, tentang penjajah,
Bukan lihat berbaris diarah,
Gondol bukit habis ditarah,
Bina landasan kami dikerah.

[anak]
Kami bersatu menentang dadah,
Demonstrasi tunjuk bebas diarah,
Gondol bukit sengaja ditarah,
Keretapi laju bina sejarah.

[semua]
Juang merdeka belum berhenti,
Sama musuh, beza dimensi,
Jalur gemilang tegak berdiri,
Kami janji sehingga mati.

Tuesday, August 23, 2016

Bermain dengan Telegram Bot

Selepas habis demam Pokemon Bot, berminat pula bermain dengan bot lain, Telegram Bot. Permulaan berjinak-jinak dengan Telegram Bot yang paling sukar bagi saya adalah pemahaman terminologi yang digunakan oleh Telegram Bot. Ini adalah kali pertama saya gunakan bot dalam perisian chat dan pemahaman adalah satu penyiksaan bagi seorang pengaturcara yang ingin terus terjun ke dalam penciptaan bot. Bagi yang pertama kali mendengar tentang Telegram, ia adalah lebih kurang perisian Whatsapp.

Yang paling mudah adalah mencari class yang sudah wujud dari pengaturcara lain untuk memudahkan penggunaan bot Telegram. Saya dalam kes ini menggunakan PHP Telegram Bot dengan manual yang agak ringkas proses pertama adalah create bot menggunakan @BotFather


Untuk bagaimana create bot, boleh terus ke page Telegram Bot dan mulakan langkah pertama untuk mendapatkan API key untuk berkomunikasi dengan bot tersebut.

Langkah kedua adalah memahami bagaimana bot berfungsi dan berkomunikasi dengan bot tersebut. Kebiasaanya bot digunakan untuk maklumat seperti berita, e.g blog post dan notifikasi di Telegram tentang berita terbaharu. Dalam kes saya, saya ingin notifikasi ke group Telegram tentang keluar masuk kereta harian setiap pagi (6 pagi) dan saya boleh request Bot tentang keluar masuk harian dengan bertanyakan query 

  • /checkin - senarai kereta pulang hari ini
  • /checkout - senarai kereta keluar hari ini
  • /checkin tomorrow - senarai kereta pulang esok
  • /checkout tomorrow - senarai kereta keluar esok
Menggunakan class PHP Telegram Bot ada 2 cara

  1. Run script secara manual/crontab untuk mengarahkan bot
  2. Run bot secara on demand ketika pertanyaan menggunakan Webhook.


Untuk notifikasi setiap pagi saya menggunakan cara pertama, dan untuk pertanyaan on demand saya menggunakan webhook. Webhook dalam konsep ini, apabila ada pertanyaan diajukan kepada bot, satu notifikasi berkenaan mesej tersebut ke satu URL yang dikhaskan. Webhook memerlukan satu web server live untuk dihantar (localhost memerlukan teknik khas) dan SSL (boleh SSL generate sendiri).

Setelah faham konsep dan persediaan ini, anda boleh mulakan pengaturcaraan bot Telegram ini.

Konsep pertama memerlukan hubungan ke pengkalan data MySQL dan konsep kedua tidak perlu. Pilih racun anda dan mulakan pengaturcaraan :D.

Ada contoh kod untuk run secara manual . Untuk webhook anda perlu set URL untuk menggunakan pengaturcaaan (sampel) dan boleh di unset (sampel) dan hanya letakkan di web server anda kod ini untuk Telegram hantar segala update. Arahan yang dihantar e.g /checkin /checkout boleh diprogramkan di dalam folder Commands . Ada beberapa sampel arahan yang sudah diberi seperti /slap /date dan /weather . 

Sudah faham ? Kalau sudah, terus gunakan Composer dan update ke folder www anda dan mulakan pengaturcaraan !

Di bawah adalah beberapa contoh bot yang menjawab kepada pertanyaan menggunakan webhook.