Thursday, August 07, 2014

10 Pelajaran Bisnes Daripada Plants vs. Zombies 2 (PvZ2)


(artikel ini pertama di terbitkan di blog rakan saya Iszuddin Ismail pada 18 September 2013)


Lewat ini saya gila bermain Plants vs. Zombies 2. Mula-mula hanya melayankan anak sahaja. Tetapi sekarang makin giat pula jadinya. Tetapi, kadangkala kita tak perasan bahawa apa yang kita gunakan dalam hidup boleh diambil pengajaran walaupun datangnya dari permainan video. Plants vs Zombies 2 (PvZ2) merupakan permainan video yang saya gemar ketika masa lapang setelah habis kerja, atau semasa rehat untuk melegakan tekanan bisnes saban hari.

Plants vs Zombies 2, merupakan satu permainan strategi yang baru dilancarkan oleh PopCap (subsidiari Electronic Arts) di mana anda menghalang zombi dari melepasi 5 laluan khas dengan pokok yang boleh menembak. Pokok-pokok tersebut boleh dibeli dengan matahari atau syiling ketika bermain dan juga anda boleh membeli kredit dengan duit sebenar.

Apa yang saya perhatikan banyak perkara dalam PvZ2 boleh dikaitkan dengan bisnes dan boleh diambil pengajaran. Jadi saya bentangkan pemerhatian saya tentang apa yang boleh dipelajari dari PvZ2 yang boleh digunakan dalam bisnes.




  1. Langkah pertama adalah sentiasa menambah modal


Langkah pertama semestinya dimulakan dengan menanam pokok Bunga Matahari untuk mengumpul modal bagi membeli pokok-pokok lain dengan harga yang lebih mahal. Kurang matahari maka lambatlah senjata serangan disediakan. Anda juga boleh dapat modal segera dengan menggunakan duit sebenar.

Di dalam bisnes, langkah pertama jika anda ingin menceburkan diri anda mestilah mempunyai modal, sama ada modal duit, masa, atau ilmu (dengan menghadiri latihan) atau juga meminjam bank (walau ini tidak disarankan).


  1. Jika modal anda kurang, fokus kepada rintangan yang wujud dahulu
Pada permulaan ketika kekurangan matahari, anda akan teringin untuk meletakkan senjata di laluan yang belum tahu ada zombi, apabila zombi wujud di laluan yang lain, kita tidak bersedia dan juga tiada matahari untuk memusnahkan Zombie tersebut.


Di dalam bisnes, apabila anda kecil, adalah penting untuk menumpukan kepada saluran pelanggan yang sudah dikenal pasti. Jika tidak anda akan kerugian mengejar kepada saluran yang tidak pasti mendatangkan untung. Lebih malang lagi, anda tiada modal untuk menghasilkan serangan di saluran baru :( .


  1. Pertahanan adalah penting jika anda sudah ada serangan.
Ketika modal dan musuh sudah banyak, pokok serangan biasanya terdedah kepada serangan zombi, dan ketika ini sesuai diletakkan pertahanan di depan pokok-pokok serangan ini. Senjata pilihan sudah tentu adalah Wall-nut atau Potato Mine. Apabila diletakkan pertahanan, kita mempunyai masa untuk merancang strategi ketika dihujani serangan zombi bertalu-talu.


Di dalam bisnes, apabila anda sudah menjalankan kempen pemasaran, gerai jualan, pengiklanan, kita perlu mempunyai sumber (pertahanan) untuk membuat susulan hasil dari kempen (serangan) yang kita sudah lancarkan. Lebih baik tindakan susulan, kempen yang baru sudah tentu dapat disusun dengan baik untuk untuk menghasilkan kempen yang lebih baik.

  1. Fokus kepada senjata yang anda sudah biasa gunakan
Anda mungkin teruja dengan pokok-pokok yang baru, yang menjanjikan corak serangan yang menarik, tetapi bagi saya, pokok-pokok yang biasa dipakai lebih selamat dan menjanjikan kemenangan.
Di dalam bisnes, kadang-kadang anda teringin untuk mencuba produk yang unik tetapi belum diuji, tidak tahu siapakah pelanggan baru ini, dan juga anda tidak ada pengalaman menghasilkan produk ini, hasilnya kematian ketika pertarungan (bisnes) adalah hasil yang dijangkakan. Masuk bisnes dengan produk yang sudah dibuktikan, ada sasaran pelanggan dengan kempen yang mudah, apa yang penting dalam bisnes adalah keuntungan. Selepas anda stabil, anda boleh ubah sedikit demi sedikit produk yang anda hasilkan untuk saluran yang baru dengan risiko yang sudah diuji dan tidak menggangu proses penghasilan keuntungan.

  1. Mempunyai simpanan yang banyak sentiasa sesuatu perkara yang baik.
Jika anda rasa matahari, baja (plant food) atau syiling (coins) yang banyak harus dibelanjakan secepat yang mungkin, anda memang silap. Simpan sedikit matahari untuk digunakan ketika serangan zombi bertalu-talu membunuh pokok-pokok serangan anda dan jika betul-betul terdesak, gunakan syiling yang anda kumpul untuk membeli matahari tambahan. Apa akan jadi jika anda tiada matahari, baja dan juga langsung syiling ? Anda kena membeli dengan duit sebenar anda !

Di dalam bisnes, keinginan untuk berbelanja ke atas keuntungan setelah anda bertungkus lumus memang seronok, tetapi anda tidak akan tahu apakah akan jadi sebulan, setahun dari sekarang. Mempunyai simpanan untuk anda boleh terus hidup tanpa keuntungan selama 6 - 12 bulan adalah lebih baik. Sentiasa berwaspada dengan menyimpan !



  1. Menjadi tuan punya bisnes anda perlu sentiasa fokus kepada gambaran besar dan selepas itu baru kepada gambaran kecil
Anda mungkin diserang pada laluan tengah oleh banyak zombi, tetapi kalau anda terlampau tumpukan kepada satu laluan, mungkin ada laluan lain yang lemah dan mudah diserang dibiarkan sehingga zombi dapat membunuh terus misi anda. Lihat pada semua laluan dari semasa ke semasa walaupun anda perlu fokus kepada satu laluan ketika anda diserang.

Di dalam bisnes, adalah menarik jika anda dapat menjadi pereka rekaan risalah, penulis tulisan di halaman web dan mencari harga iklan di surat khabar, tetapi terlampau fokus kepada kerja yang sepatutnya boleh di lakukan oleh orang lain akan menganggu anda untuk fokus kepada gambaran besar bisnes iaitu menghasilkan strategi bisnes yang menjana keuntungan. Buat SOP (standard of procedure), ajar kepada staff, dan terus fokus kepada objektif bisnes anda setiap hari.


  1. Sentiasa tidak terlepas kepada objektif asal.
Kadang-kadang misi anda adalah mengumpul jumlah matahari atau gunakan hanyak 15 pokok pada satu-satu masa. Jika anda lupa pada objektif asal, anda akan gagal misi anda.

Di dalam bisnes, anda akan ada bermacam-macam idea setiap hari, esok anda ingin menjual kambing, lusa anda terfikir membuka restoran beriani dan ada rakan-rakan mengajak anda berkongsi bisnes jual di pasar malam. Fokus-fokus dan sentiasa fokus kepada objektif anda, cuba berjaya dengan satu bisnes, pastikan ia menjana keuntungan, baru buka buku idea baru anda untuk melancarkan satu lagi bisnes.



  1. Kenal pasti kelemahan pihak lawan dan kekuatan senjata sendiri adalah satu kelebihan
Baca dan fahami kelemahan zombi dan juga kelebihan pokok-pokok sedia ada di almanak zombi untuk anda memilih senjata yang betul dengan misi anda.


Di dalam bisnes, anda akan merasakan tidak ada masa untuk menjalani latihan, mendapatkan nasihat mentor, membaca buku-buku bisnes. Mengetahui atau belajar ilmu tambahan akan sentiasa mendatangkan kesan positif kepada bisnes anda. Curi masa, tambahkan ilmu setiap hari .

  1. Pilih pemain yang boleh membantu misi bisnes dan jangan benarkan penumpang

Jika anda terlampau ghairah dengan pokok-pokok yang mahal atau kurang fungsi, sehinggakan pokok tersebut tidak digunakan ketika misi anda, kemungkinan untuk anda gagal adalah tinggi.

Di dalam bisnes, anda kadang-kadang memilih rakan kongsi oleh kerana dia adalah rakan baik anda di universiti, atau kerana dia adalah saudara sebelah sepupu ayah anda. Anda tidak perlu penumpang yang tidak menyumbang, hanya pilih orang (pekerja atau rakan kongsi) yang boleh menyumbang kearah bisnes anda, bukan kerana dia tidak pernah sakiti hati anda.


  1. Gunakan sumber simpanan hanya ketika kecemasan atau untuk tambah baik pertahanan.
Simpanan seperti matahari, baja pokok (plant food) atau syiling memang boleh dibelanjakan, tetapi pilih untuk membelanjakan ketika betul-betul membantu misi anda dan bukan dibelanjakan ketika tiada keperluan.

Di dalam bisnes, keuntungan sepatutnya di simpan atau dilaburkan semula ke atas bisnes anda. Hadiahkan staff bonus jika prestasi syarikat baik, bukan membeli barang yang tidak perlu oleh kerana anda ada duit lebih. Simpan dan labur ke arah objektif bisnes.




Berikut adalah beberapa idea yang saya dapat dari pemerhatian bermain Plants vs Zombie 2 yang saya rasa berkaitan dengan bisnes. Saya harap jika anda ingin memulakan bisnes atau sudah memulakan bisnes dapat mengambil iktibar dari tips-tips yang saya kongsi. Mungkin kadangkala bisnes ada jatuh dan bangun. Oleh kerana PvZ2 dan bisnes ada kesamaan, anda boleh mula semula. Bangun dan belajar dari kesilapan ;)



Small time CEO, Long time macai for AIST from Melaka. Founded Zenpipe / Zenclouds and BnB.my

Friday, August 01, 2014

Memulakan kembali apa yang ditinggalkan ( Hello World !

Dengan orang lain sudah meninggalkan blog dan memilih Facebook / G+ sebagai ruang ekspresi diri, saya ingin memulakan kembali berblogging. Masalah saya dengan blog yang lama adalah data dan aplikasi yang perlu dijaga, update dan juga domain yang perlu di renew dari semasa ke semasa. Jadi sekarang saya membuat keputusan

  • Guna SaaS blog platform (saya pilih blogger.com)
  • Guna sub domain company (aist.com.my) 
Dua pilihan di atas mungkin mengurangkan risiko blog saya hilang ditelan web archive :) . Selamat datang ke blog baru saya di http://amran.aist.com.my

Blog ini akan menjadi mirror jika saya ada buat artikel di PHP.net.my / aist.com.my/blog / badminton . Jadi tajuk yang mungkin ada di blog ini mungkin berkisar pasal bisnes atau pengaturcaraan.