Anak merdeka, apa kau tahu,
Bermandi darah, darurat lalu,
Penjajah tarah, meninggal kuku,
Cerita yang kau baca hanya di buku.
[anak]
Ayahanda kami bukan tak tahu,
Merdeka kerana perjuangan lalu,
Sekarang ada dimensi baharu,
Penjajah ghaib yang kami buru.
[ayah]
Makan ubi sebulan pasti,
Dapat beras itu kenduri,
Lapar perut tajam bak duri,
Sekarang mewah lagak puteri.
[anak]
Kecur ubi disulam kopi,
Makanan hanya lihat di TV,
Kadang-kadang diadil juri,
Musuh kami, tentang obesiti.
[ayah]
Kami satu, tentang penjajah,
Bukan lihat berbaris diarah,
Gondol bukit habis ditarah,
Bina landasan kami dikerah.
[anak]
Kami bersatu menentang dadah,
Demonstrasi tunjuk bebas diarah,
Gondol bukit sengaja ditarah,
Keretapi laju bina sejarah.
[semua]
Juang merdeka belum berhenti,
Sama musuh, beza dimensi,
Jalur gemilang tegak berdiri,
Kami janji sehingga mati.