Tuesday, July 21, 2015

Usaha tangga kejayaan

Untuk yang baru belajar satu ilmu baru, kita akan cuba meniru yang pakar dalam bidang itu. paling mudah adalah gaya, peralatan.

  • untuk belajar jadi pelakon, kita cuba pakai baju yang sama, alat solek yang sama
  • untuk menjadi penyanyi, microphone yang baik mungkin dikatakan menjadikan kita hebat
  • menjadi pelukis yang baik, mungkin berus yang digunakan pakar dikatakan boleh menjadikan kita Picasso.
  • Raket yang digunakan Lee Chong Wei menyebabkan smash rasa lebih laju dari biasa.
  • Rasa komputer yang ada tidak cukup laju untuk memulakan Hello World pertama, kalau boleh perlukan 16 GB RAM baru boleh bermula taipan pertama.

Kita lupa bahawa, semasa awal mereka bermula, cermin buruk adalah prop mereka, mic karaoke menjadi santapan setiap hari, berus buruk diconteng berhari-hari, raket hadiah bapa yang dipukul tanpa jemu, dan Linus Torvalds menghadap PC buruk untuk compile kernel pertamanya.

Realiti akan datang menjengah apabila segala yang ditiru tidak menjadi seperti yang diharapkan dan realiti akan berkata "Usaha tangga kejayaan". Kita ada 2 pilihan, tukar ke ilmu baru atau langkah ke tangga ke 2.

Friday, July 10, 2015

10 ribu jam


  • Tertanya-tanya apakah perkara yang kita sudah buat 10 ribu jam ?
  • Adakah dengan buat perkara 10 ribu jam menyebabkan kita menjadi pakar dalam perkara tersebut ?
  • Saya bukan pakar berjalan, walaupun saya sudah berjalan lebih dari 10 ribu jam. Saya tidak menjadi jaguh jalan kaki dunia.
  • Saya juga bukan pakar dalam membawa kereta, walaupuan sudah 20 tahun memandu (mungkin belum sampai 10 ribu jam) , tetapi sepatutnya saya sudah separuh dari tahap pakar :)
  • Berapa lamakah latihan selama 10 ribu jam ? Jika anda berlatih 8 jam sehari, dan berlatih 360 hari setahun, anda perlukan 3 tahun setengah untuk mencapai 10 ribu jam.
  • Jika anda berlatih 5 hari seminggu, 8 jam sehari anda perlukan lebih kurang 6 tahun untuk mencapai 10 ribu jam.
  • Soalannya, adakah dengan hanya 10 ribu jam sahaja anda mungkin menjadi pakar ? Jika sudah pakar, adakah dengan 12 ribu jam anda lebih pakar dari orang yang membuat 10 ribu jam ?
  • Walaupun asas 10 ribu jam adalah penting, tetapi banyak lagi ciri-ciri yang menyumbang untuk anda menjadi pakar. Fokus, bersungguh-sungguh juga penting dalam latihan tersebut. Mungkin strategi dan guru juga penting dalam 10 ribu jam tersebut. 

rujukan 

Tuesday, July 07, 2015

Strategi

Dari kecil kita sudah tahu menggunakan strategi. Bagaimana strategi untuk mendapatkan mainan yang dikehendaki. Strategi untuk mendapatkan perhatian guru. Strategi untuk memikat wanita.

Dalam itu juga kita disogokkan dengan mentaliti menunggu arahan, mengikut apa yang orang lain buat. Kemudian kita cemburu dengan apa yang orang lain ada, kita sebenarnya lupa untuk mengetahui apa yang orang lain ada, adalah disebabkan mereka mempunyai strategi dan arah yang ingin dituju. Mereka tidak menunggu arahan, mereka tidak buat apa yang orang lain buat.

Jadi apakah strategi anda adalah mengikut apa yang orang biasa buat dan mengharapkan keputusan yang berbeza dengan orang lain ?

Monday, July 06, 2015

Bersungguh-sungguh

Apabila kita belajar, ibu bapa menyuruh kita belajar bersungguh-sungguh. Kita hanya berusaha untuk mencapai kesederhanaan. Kita menggunakan agama bahawa sederhana itu dituntut, bersyukur dengan apa yang ada.  Sebenarnya sederhana yang kita ingin capai adalah kata lembut untuk MALAS !.

Nanti apa yang kita akan jawab kepada yang Esa, perkara apa yang kita pernah buat secara bersungguh-sungguh ?

Monday, March 30, 2015

Tukar value PHP CLI secara terus

Biasa perlu edit php.ini dan arahkan PHP CLI untuk cari nilai pemboleh ubah PHP di dalam php.ini, tetapi baru perasan kita boleh ubah secara terus semasa execute arahan

e.g


php -d memory_limit=256M file.php


Saturday, March 28, 2015

Apa yang tidak berubah ?

Yang tidak berubah adalah perubahan berterusan kami untuk memastikan yang terbaik buat pelanggan kami

Dipetik dari quote saya sendiri apabila membuat kiriman blog. Idea yang mungkin ada di dalam kepala apabila baca banyak artikel di web. Saya cari di Google nampaknya memang sudah lama quote ini wujud.

" The Only Thing That Is Constant Is Change "


― Heraclitus

Nampaknya quote saya cuma terjemahan sahaja, bukan idea asli :) .                                                                       

Friday, March 20, 2015

Apa nilai yang kita bayar

Dengan demam GST yang semakin hangat, ramai yang bersungut. Dalam pasaran terbuka, pembelian ada banyak faktor dan antaranya adalah nilai yang dianggap adil bagi pembeli. 

Mungkin yang bersungut rasa GST adalah harga yang tidak setimpal dengan nilai yang diberikan?

Sunday, March 15, 2015

Kelebihan orang kecil

Apakah kelebihan yang ada jika kita orang kecil? Orang kata 'Perbuatan/prosedur ini tidak akan scale '. Budak besar tidak akan buat perkara ini. 

- Budak besar tidak akan buat live chat di web mereka.
- Budak besar tidak akan balas email dengan setiap newsletter yang dibalas oleh pelanggan menyebabkan mereka menggunakan noreply@example.com

Itu adalah kelebihan budak kecil, membuat perkara yang tidak scale.

Wednesday, January 28, 2015

Bakat

Datang menggolek bukannya bulat,
Yang melayang persis pisau lipat,
Bakat bukan datang bak kilat,
Tapi diasah dengan keringat,
Fuh kanan, fuh kiri,berani rapat, 
Terus asa jangan putus semangat !


-amran-

Monday, January 05, 2015

Resolusi 2560 x 1600


Dari Shanghai ke Ayer Keroh,
Ahh menghitung saat gemuruh,
Menunggu tiba dengar bunyi guruh,
Tebar karpet merah ku suruh.

Thursday, August 07, 2014

10 Pelajaran Bisnes Daripada Plants vs. Zombies 2 (PvZ2)


(artikel ini pertama di terbitkan di blog rakan saya Iszuddin Ismail pada 18 September 2013)


Lewat ini saya gila bermain Plants vs. Zombies 2. Mula-mula hanya melayankan anak sahaja. Tetapi sekarang makin giat pula jadinya. Tetapi, kadangkala kita tak perasan bahawa apa yang kita gunakan dalam hidup boleh diambil pengajaran walaupun datangnya dari permainan video. Plants vs Zombies 2 (PvZ2) merupakan permainan video yang saya gemar ketika masa lapang setelah habis kerja, atau semasa rehat untuk melegakan tekanan bisnes saban hari.

Plants vs Zombies 2, merupakan satu permainan strategi yang baru dilancarkan oleh PopCap (subsidiari Electronic Arts) di mana anda menghalang zombi dari melepasi 5 laluan khas dengan pokok yang boleh menembak. Pokok-pokok tersebut boleh dibeli dengan matahari atau syiling ketika bermain dan juga anda boleh membeli kredit dengan duit sebenar.

Apa yang saya perhatikan banyak perkara dalam PvZ2 boleh dikaitkan dengan bisnes dan boleh diambil pengajaran. Jadi saya bentangkan pemerhatian saya tentang apa yang boleh dipelajari dari PvZ2 yang boleh digunakan dalam bisnes.




  1. Langkah pertama adalah sentiasa menambah modal


Langkah pertama semestinya dimulakan dengan menanam pokok Bunga Matahari untuk mengumpul modal bagi membeli pokok-pokok lain dengan harga yang lebih mahal. Kurang matahari maka lambatlah senjata serangan disediakan. Anda juga boleh dapat modal segera dengan menggunakan duit sebenar.

Di dalam bisnes, langkah pertama jika anda ingin menceburkan diri anda mestilah mempunyai modal, sama ada modal duit, masa, atau ilmu (dengan menghadiri latihan) atau juga meminjam bank (walau ini tidak disarankan).


  1. Jika modal anda kurang, fokus kepada rintangan yang wujud dahulu
Pada permulaan ketika kekurangan matahari, anda akan teringin untuk meletakkan senjata di laluan yang belum tahu ada zombi, apabila zombi wujud di laluan yang lain, kita tidak bersedia dan juga tiada matahari untuk memusnahkan Zombie tersebut.


Di dalam bisnes, apabila anda kecil, adalah penting untuk menumpukan kepada saluran pelanggan yang sudah dikenal pasti. Jika tidak anda akan kerugian mengejar kepada saluran yang tidak pasti mendatangkan untung. Lebih malang lagi, anda tiada modal untuk menghasilkan serangan di saluran baru :( .


  1. Pertahanan adalah penting jika anda sudah ada serangan.
Ketika modal dan musuh sudah banyak, pokok serangan biasanya terdedah kepada serangan zombi, dan ketika ini sesuai diletakkan pertahanan di depan pokok-pokok serangan ini. Senjata pilihan sudah tentu adalah Wall-nut atau Potato Mine. Apabila diletakkan pertahanan, kita mempunyai masa untuk merancang strategi ketika dihujani serangan zombi bertalu-talu.


Di dalam bisnes, apabila anda sudah menjalankan kempen pemasaran, gerai jualan, pengiklanan, kita perlu mempunyai sumber (pertahanan) untuk membuat susulan hasil dari kempen (serangan) yang kita sudah lancarkan. Lebih baik tindakan susulan, kempen yang baru sudah tentu dapat disusun dengan baik untuk untuk menghasilkan kempen yang lebih baik.

  1. Fokus kepada senjata yang anda sudah biasa gunakan
Anda mungkin teruja dengan pokok-pokok yang baru, yang menjanjikan corak serangan yang menarik, tetapi bagi saya, pokok-pokok yang biasa dipakai lebih selamat dan menjanjikan kemenangan.
Di dalam bisnes, kadang-kadang anda teringin untuk mencuba produk yang unik tetapi belum diuji, tidak tahu siapakah pelanggan baru ini, dan juga anda tidak ada pengalaman menghasilkan produk ini, hasilnya kematian ketika pertarungan (bisnes) adalah hasil yang dijangkakan. Masuk bisnes dengan produk yang sudah dibuktikan, ada sasaran pelanggan dengan kempen yang mudah, apa yang penting dalam bisnes adalah keuntungan. Selepas anda stabil, anda boleh ubah sedikit demi sedikit produk yang anda hasilkan untuk saluran yang baru dengan risiko yang sudah diuji dan tidak menggangu proses penghasilan keuntungan.

  1. Mempunyai simpanan yang banyak sentiasa sesuatu perkara yang baik.
Jika anda rasa matahari, baja (plant food) atau syiling (coins) yang banyak harus dibelanjakan secepat yang mungkin, anda memang silap. Simpan sedikit matahari untuk digunakan ketika serangan zombi bertalu-talu membunuh pokok-pokok serangan anda dan jika betul-betul terdesak, gunakan syiling yang anda kumpul untuk membeli matahari tambahan. Apa akan jadi jika anda tiada matahari, baja dan juga langsung syiling ? Anda kena membeli dengan duit sebenar anda !

Di dalam bisnes, keinginan untuk berbelanja ke atas keuntungan setelah anda bertungkus lumus memang seronok, tetapi anda tidak akan tahu apakah akan jadi sebulan, setahun dari sekarang. Mempunyai simpanan untuk anda boleh terus hidup tanpa keuntungan selama 6 - 12 bulan adalah lebih baik. Sentiasa berwaspada dengan menyimpan !



  1. Menjadi tuan punya bisnes anda perlu sentiasa fokus kepada gambaran besar dan selepas itu baru kepada gambaran kecil
Anda mungkin diserang pada laluan tengah oleh banyak zombi, tetapi kalau anda terlampau tumpukan kepada satu laluan, mungkin ada laluan lain yang lemah dan mudah diserang dibiarkan sehingga zombi dapat membunuh terus misi anda. Lihat pada semua laluan dari semasa ke semasa walaupun anda perlu fokus kepada satu laluan ketika anda diserang.

Di dalam bisnes, adalah menarik jika anda dapat menjadi pereka rekaan risalah, penulis tulisan di halaman web dan mencari harga iklan di surat khabar, tetapi terlampau fokus kepada kerja yang sepatutnya boleh di lakukan oleh orang lain akan menganggu anda untuk fokus kepada gambaran besar bisnes iaitu menghasilkan strategi bisnes yang menjana keuntungan. Buat SOP (standard of procedure), ajar kepada staff, dan terus fokus kepada objektif bisnes anda setiap hari.


  1. Sentiasa tidak terlepas kepada objektif asal.
Kadang-kadang misi anda adalah mengumpul jumlah matahari atau gunakan hanyak 15 pokok pada satu-satu masa. Jika anda lupa pada objektif asal, anda akan gagal misi anda.

Di dalam bisnes, anda akan ada bermacam-macam idea setiap hari, esok anda ingin menjual kambing, lusa anda terfikir membuka restoran beriani dan ada rakan-rakan mengajak anda berkongsi bisnes jual di pasar malam. Fokus-fokus dan sentiasa fokus kepada objektif anda, cuba berjaya dengan satu bisnes, pastikan ia menjana keuntungan, baru buka buku idea baru anda untuk melancarkan satu lagi bisnes.



  1. Kenal pasti kelemahan pihak lawan dan kekuatan senjata sendiri adalah satu kelebihan
Baca dan fahami kelemahan zombi dan juga kelebihan pokok-pokok sedia ada di almanak zombi untuk anda memilih senjata yang betul dengan misi anda.


Di dalam bisnes, anda akan merasakan tidak ada masa untuk menjalani latihan, mendapatkan nasihat mentor, membaca buku-buku bisnes. Mengetahui atau belajar ilmu tambahan akan sentiasa mendatangkan kesan positif kepada bisnes anda. Curi masa, tambahkan ilmu setiap hari .

  1. Pilih pemain yang boleh membantu misi bisnes dan jangan benarkan penumpang

Jika anda terlampau ghairah dengan pokok-pokok yang mahal atau kurang fungsi, sehinggakan pokok tersebut tidak digunakan ketika misi anda, kemungkinan untuk anda gagal adalah tinggi.

Di dalam bisnes, anda kadang-kadang memilih rakan kongsi oleh kerana dia adalah rakan baik anda di universiti, atau kerana dia adalah saudara sebelah sepupu ayah anda. Anda tidak perlu penumpang yang tidak menyumbang, hanya pilih orang (pekerja atau rakan kongsi) yang boleh menyumbang kearah bisnes anda, bukan kerana dia tidak pernah sakiti hati anda.


  1. Gunakan sumber simpanan hanya ketika kecemasan atau untuk tambah baik pertahanan.
Simpanan seperti matahari, baja pokok (plant food) atau syiling memang boleh dibelanjakan, tetapi pilih untuk membelanjakan ketika betul-betul membantu misi anda dan bukan dibelanjakan ketika tiada keperluan.

Di dalam bisnes, keuntungan sepatutnya di simpan atau dilaburkan semula ke atas bisnes anda. Hadiahkan staff bonus jika prestasi syarikat baik, bukan membeli barang yang tidak perlu oleh kerana anda ada duit lebih. Simpan dan labur ke arah objektif bisnes.




Berikut adalah beberapa idea yang saya dapat dari pemerhatian bermain Plants vs Zombie 2 yang saya rasa berkaitan dengan bisnes. Saya harap jika anda ingin memulakan bisnes atau sudah memulakan bisnes dapat mengambil iktibar dari tips-tips yang saya kongsi. Mungkin kadangkala bisnes ada jatuh dan bangun. Oleh kerana PvZ2 dan bisnes ada kesamaan, anda boleh mula semula. Bangun dan belajar dari kesilapan ;)



Small time CEO, Long time macai for AIST from Melaka. Founded Zenpipe / Zenclouds and BnB.my

Friday, August 01, 2014

Memulakan kembali apa yang ditinggalkan ( Hello World !

Dengan orang lain sudah meninggalkan blog dan memilih Facebook / G+ sebagai ruang ekspresi diri, saya ingin memulakan kembali berblogging. Masalah saya dengan blog yang lama adalah data dan aplikasi yang perlu dijaga, update dan juga domain yang perlu di renew dari semasa ke semasa. Jadi sekarang saya membuat keputusan

  • Guna SaaS blog platform (saya pilih blogger.com)
  • Guna sub domain company (aist.com.my) 
Dua pilihan di atas mungkin mengurangkan risiko blog saya hilang ditelan web archive :) . Selamat datang ke blog baru saya di http://amran.aist.com.my

Blog ini akan menjadi mirror jika saya ada buat artikel di PHP.net.my / aist.com.my/blog / badminton . Jadi tajuk yang mungkin ada di blog ini mungkin berkisar pasal bisnes atau pengaturcaraan.